Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan bangkai bas yang terlibat dalam nahas jalan raya yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi di Gerik, Perak. Foto ANIR NABILAFIQ ANUAR, 09 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Laporan awal teknikal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendapati keadaan fizikal brek bas, brake lining dan brake drum bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat, Gerik berdekatan Tasik Banding pada 9 Jun lalu berada dalam keadaan baik.

Berikutan itu, kemalangan yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkemungkinan besar berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada brake lining.

“Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sbagai punca kemalangan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Anthony, daripada pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar dalam kedaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Tambah beliau, berdarsarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.

Sementara itu, Anthony berkata, langkah penambahbaikan yang sesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan pertemuan akhir bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.

Katanya, keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kementeriannya dan penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketatkan secara berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast