KUALA LUMPUR – Kisah kejayaan seorang penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berjaya menamatkan pengajian dalam dua bidang pengkhususan kejuruteraan mencetuskan inspirasi dalam kalangan pengguna maya hari ini.
Lebih membanggakan, kejayaan itu dicapai Zul Hakim Zulhaimi meskipun beliau merupakan penuntut aliran Sastera dan hanya memperoleh keputusan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah, semua permohonannya untuk menyambung pengajian ke universiti awam selepas SPM juga tidak berjaya.
Kini, Zul Hakim bukan sahaja menamatkan pengajian di luar negara iaitu Purdue University, West Lafayette, Indiana, Amerika Syarikat (AS), malah bergraduasi dalam `double major’ iaitu Mechatronics Engineering Technology dan Automation & Systems Integration Engineering Technology.
Beliau juga berjaya menamatkan pengajian lebih awal iaitu pada semester Spring 2025 berbanding semester Fall 2025 seperti yang telah ditawarkan oleh Mara.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook MARA USA, kisah kejayaan Zul Hakim bermula selepas mengambil langkah untuk menyambung pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) pada tahun 2018.
Walaupun datang dari latar belakang bukan aliran sains, beliau nekad mencabar diri dalam Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, iaitu bidang yang penuh berliku dan mencabar.
Usaha gigih itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang pada tahun 2021.
“Seterusnya, beliau telah menerima tajaan Mara untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Beliau telah memilih Purdue University di Amerika Syarikat, sebuah universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan. Dengan fasiliti bertaraf dunia dan tenaga pengajar yang hebat, beliau yakin inilah tempat terbaik untuk mengembangkan lagi potensi diri,” demikian menurut hantaran itu.
Tambahnya, sepanjang pengajian di Purdue University, Zul Hakim terlibat secara aktif dalam pelbagai projek berimpak tinggi seperti pembangunan prototaip exoskeleton pintar yang dilengkapi sensor daya dan sudut untuk tujuan pembelajaran dan aplikasi industri.
Beliau juga menjadi pembantu pengajar (Teaching Assistant) untuk kursus Lean Six Sigma, serta mewakili kumpulan dalam Tech Expo Purdue bagi membentangkan hasil inovasi kepada pihak industri dan akademik.
“Akhirnya, dengan penuh dedikasi, beliau menamatkan pengajian lebih awal pada semester Spring 2025 dan dianugerahkan Golden Honor Cord, lambang kecemerlangan akademik tertinggi.
“Semoga perkongsian kejayaan beliau membuktikan bahawa permulaan yang sederhana bukan penghalang untuk mencapai kejayaan luar biasa.
“Dengan semangat, kesungguhan, dan keyakinan diri, tidak mustahil masa depan boleh diubah. Tahniah diucapkan!” katanya. – MalaysiaGazette
















