JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil perhatian aduan seorang usahawan yang kecewa dengan perkhidmatan Hospital Kota Tinggi (HKT) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata, siasatan sudah dilakukan terhadap aduan tersebut selepas disiarkan MalaysiaGazette pada 7 Jun lalu.
“JKNJ mengambil maklum berkaitan isu aduan seorang usahawan meluahkan rasa kecewa dengan layanan kecemasan terhadap ibu mentuanya di Unit Kecemasan dan Trauma HKT yang dipaparkan media elektronik MalaysiaGazette.
“Untuk makluman, siasatan awal mendapati pesakit berumur 80 tahun telah dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma HKT pada 7 Jun 2025, pukul 5 petang dan dirawat di Zon Kuning.
“Pesakit telah dilihat oleh pegawai perubatan yang bertugas dan beliau telah dipindahkan ke zon merah,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, waris memohon untuk membawa keluar pesakit dengan risiko sendiri ke hospital swasta namun pihak hospital swasta tersebut meminta HKT untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas pesakit sebelum dipindahkan ke hospital berkenaan.
Katanya, permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana pada masa ini ujian Covid-19 hanya akan dibuat bagi tujuan rawatan dan bukan untuk saringan seperti mana permintaan waris.
“Ujian saringan influenza dan Covid-19 juga bukan merupakan ujian rutin bagi pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan,” jelasnya lagi.
Tambahnya, HKT merupakan hospital tanpa pakar dengan bilangan operator yang bertugas mengendalikan panggilan telefon adalah terhad pada satu-satu masa.
Keadaan itu ujarnya, menyebabkan ada panggilan yang tidak dijawab apabila petugas tiada di stesen atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“JKNJ mengambil perhatian isu ini dan akan mengenal pasti penambahbaikan yang boleh diambil bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan proses perawatan kepada pesakit,” katanya.
Terdahulu, portal ini menyiarkan rasa kecewa usahawan berkenaan, Ramakrishnan Nair ketika berurusan membawa ibu mentuanya yang berusia 81 tahun ke HKT baru-baru ini.
Ramakrishnan mendakwa pengalaman tersebut amat memalukan dan mencerminkan kelemahan sistem kesihatan awam di negara ini.
“Sebagai seorang usahawan yang sering ke luar negara, setiap negara yang saya lawati, saya bangga memperkenalkan Malaysia sebagai negara maju, harmoni dan bertaraf dunia tetapi hari ini, saya amat malu dan kecewa,” katanya.
Dakwa Ramakrishnan, tiada ujian Covid-19 atau influenza disediakan di bahagian kecemasan hospital berkenaan dan menganggap ia satu perkara yang mengejutkan dalam dunia perubatan moden hari ini.
Lebih mengecewakan, pihak hospital swasta yang ingin menerima pemindahan pesakit gagal menghubungi bahagian kecemasan di hospital berkenaan walaupun telah membuat lebih daripada 10 panggilan, dakwanya.
Akhirnya, beliau terpaksa meminta bantuan ahli keluarga yang bekerja di hospital tersebut untuk menyampaikan mesej secara langsung kepada doktor.- MalaysiaGazette
















