PONTIAN – Penyertaan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad ke dalam UMNO membuktikan parti itu terus diyakini dan masih relevan sehingga kini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk individu berpengalaman luas dan profesional.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, keputusan Dzulkifli itu selepas bersara daripada perkhidmatan awam tidak wajar dipersoal atau disangsikan.
“Apa yang lebih penting ialah kesediaan tokoh seperti Dzulkefly untuk bersama-sama dalam perjuangan UMNO demi kepentingan rakyat dan negara.
“Penyertaan Dzulkifli merupakan bukti bahawa UMNO terus diyakini sebagai parti yang relevan dan terbuka menerima sesiapa sahaja, termasuk individu berpengalaman luas dan profesional.
“Jangan disangsikan niat beliau (Dzulkifli) dan yang penting, selepas bersara beliau memilih UMNO sebagai wadah perjuangan. Kita (UMNO) ucap terima kasih dan kita terima dengan hati terbuka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Ilmu Falak anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, di sini, hari ini.
Seramai 64 peserta dari Fakulti Alam Bina mengikuti program tiga hari dua malam di Ayer Baloi itu bermula Jumaat dengan konsep keluarga angkat bagi merapatkan hubungan antara UTM dengan penduduk.
Semalam, media melaporkan Dzulkifl membuat kejutan apabila memohon menyertai UMNO dengan menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua UMNO Cawangan Merbau Kudong, Mohd Ramli Daud dalam satu majlis di Sungai Dua, Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, UMNO kini lebih inklusif dan penyertaaan golongan profesional, teknokrat dan tokoh berpengalaman amat dialu-alukan.
“Kalau ikhlas, pintu kita terbuka,” jelasnya dan memaklumkan bahawa proses untuk menjadi ahli UMNO kini jauh lebih mudah, melalui 22,500 cawangan di seluruh negara.
Beliau memaklumkan pernah wujud kesukaran sebelum ini, di mana sesetengah individu ditolak di peringkat cawangan namun perkara itu sudah lama berlalu.
“Malah dulu kita pernah tubuhkan cawangan khas Dataran Merdeka untuk orang-orang berkaliber dan profesional yang tidak diterima di cawangan. Tapi itu cerita lama. Hari ini UMNO terbuka luas.
“Kita ucap terima kasih kepada beliau (Dzulkifli) dan kita alu-alukan dengan hati terbuka. Ramai yang telah menyertai UMNO secara senyap dan kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada parti ini,” katanya.
Ahmad menegaskan bahawa UMNO sentiasa mengiktiraf bakat dan pengalaman semua golongan untuk memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















