Seorang penunggang basikal warg Singapura maut digilis treler selepas terjatuh akibat terlanggar lubang di Jalan Gunung Pulai, Kulai, semalam

KULAI – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan kerja-kerja membaiki di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai di sini segera dilaksanakan susulan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang basikal warga Singapura, semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian itu amat menyedihkan kerana insiden berlaku ketika mangsa menjalankan aktiviti riadah di situ.

“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

“Kehilangan nyawa dalam apa jua keadaan amat memilukan, apatah lagi ketika berbasikal yang sepatutnya membawa kegembiraan serta manfaat kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Jalan Negeri J165 adalah di bawah penyeliaan kerajaan negeri dan peruntukan penyelenggaraan disalurkan kerajaan Persekutuan melalui sistem Malaysian Road Records Information System (Marris).

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati permukaan jalan mengalami kerosakan dipercayai akibat kekerapan penggunaan oleh kenderaan berat, khususnya lori dari kawasan kuari berhampiran.

“Walaupun kerja menaik taraf bahu jalan (grading) telah dibuat awal tahun ini, beban berlebihan menyebabkan kerosakan kembali berlaku,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jalan itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pihaknya tetap prihatin dan sudah menghubungi pihak bertanggungjawab agar kerja pembaikan segera dilaksana menggunakan kaedah R01.

Katanya, kerja naik taraf semula akan dibuat sebagai langkah awal dan diikuti pembaikan menyeluruh selepas peruntukan diterima.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan pengendali kuari untuk bekerjasama memastikan jalan raya dalam keadaan selamat dan selesa bagi semua pengguna.

“Saya nasihatkan penunggang basikal supaya mengutamakan keselamatan. Elak gunakan laluan dilalui kenderaan berat, pilih waktu yang sesuai seperti awal pagi hujung minggu dan pakai kelengkapan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan komitmen semua pihak termasuk pemandu, pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal.

Semalam media melaporkan, seorang penunggang basikal maut dalam keadaan menyayat hati apabila digilis treler selepas terjatuh akibat terlanggar lubang di Jalan Gunung Pulai, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian pukul 9.45 pagi itu mengorbankan mangsa, lelaki warga Singapura berusia 42 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast