JOHOR BAHRU – UMNO perlu bangkit semula selepas ditolak rakyat kerana amanah dan perjuangan wajar terus dipikul serta terlalu besar untuk diabaikan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, parti perlu bangun segar semula selepas mengharungi bermacam-macam cabaran.
“Rebah, diuji, difitnah, bahkan pernah hampir ditolak sejarah. Namun, UMNO bangkit semula bukan kerana nama tetapi amanah perjuangan ini terlalu besar untuk kita abaikan.
“UMNO bukan milik satu generasi, UMNO milik seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia yang mengimpikan masa depan yang lebih baik.
“Maka tanggungjawab kita kini bukan sekadar mempertahan legasi tetapi membina semula keyakinan dan menyemarakkan semangat kebangkitan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru Pengerusi UMNO Johor itu mahukan Persidangan UMNO Bahagian 2025 terutama di negeri ini menjadi medan penyusunan strategi untuk memperkukuh gerak kerja dan menyalakan semangat baharu.
Kata Menteri Besar Johor itu, persidangan tersebut yang berlangsung mulai 9 Jun hingga 27 Julai ini juga menjadi platform memperkasa naratif kejayaan kerajaan negeri di bawah panji UMNO.
“Saya menyeru seluruh ahli UMNO Johor, inilah masa untuk kita bangkit. Mesyuarat ini mesti menjadi titik tolak pembaharuan.
“Gunakan medan ini untuk merapat saf, menyusun kekuatan dan memperkuatkan keyakinan rakyat bahawa UMNO masih utuh sebagai pelindung masa depan mereka,” katanya.
Onn Hafiz berpuas hati dan merakamkan tahniah apabila 2,197 cawangan UMNO Johor baru sahaja menamatkan persidangan dengan cemerlang.
“Syabas dan tahniah diucapkan! Ini bukan sekadar angka, ini adalah bukti bahawa akar umbi UMNO Johor masih utuh dan setia. Di negeri kelahiran UMNO ini, denyut perjuangan tidak pernah padam.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh perwakilan, kepimpinan dan jentera UMNO Johor yang terus berkhidmat tanpa mengenal jemu.
“Kalianlah tulang belakang dan nadi parti keramat ini. Tanpa kekuatan dan keikhlasan kalian, UMNO Johor tidak akan berdiri seteguh hari ini,” katanya.
Menurutnya, UMNO Johor bukan hanya sebuah parti politik sebaliknya adalah wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air.
“Tanggungjawab ini amat besar, tetapi kita mampu memikulnya jika kita kekal bersatu dan istiqamah dalam perjuangan. Insya-Allah, UMNO Johor akan terus menjadi tiang seri kestabilan negeri dan negara, membela rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan menjadi pemangkin perpaduan nasional,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















