PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan serangan Israel ke atas Iran ketika ini sebagai tindakan zalim dan berat sebelah.
Ini kerana, menurut beliau, peperangan itu dimulakan Israel kononnya berasaskan mahu menghentikan pembangunan senjata nuklear oleh Iran.
Sedangkan, pada masa sama, jelas beliau, negara regim Zionis itu sendiri bebas membangunkan senjata nuklear sendiri.
“Saya anggap (serangan Israel ke atas Iran) amat zalim, sementara Iran tidak boleh membangunkan bom atom, tetapi Israel dibolehkan pula.
“Israel yang ganas, sepatutnya kalau mahu dikenakan tindakan, kedua-dua negara tak boleh (membangunkan senjata nuklear)…ini berat sebelah…tiada keadilan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku karya terbaharu beliau berjudul Addeen yang disempurnakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Dr. Mahathir diminta mengulas konflik terbaharu serangan Israel ke atas Iran yang memasuki hari ketiga hari ini, dengan kedua-dua negara saling melancarkan peluru berpandu yang memusnahkan beberapa wilayah masing-masing sejak ketegangan bermula Jumaat lalu.
Sementara itu, ditanya sejauh mana perang antara Israel dan Iran ketika ini akan mempengaruhi situasi geopolitik khususnya di rantau Asia Barat, Dr. Mahathir menjangkakan perang tersebut akan berlanjutan.
Ini kerana, ujar beliau, Israel dalam serangan ke atas Iran itu turut mendapat sokongan termasuk daripada sudut ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS).
“Sekarang ini AS memberi bantuan dengan senjata dan sebagainya (kepada Israel)…dan kalau Iran cuba melawan balik, AS akan bekal lebih banyak senjata, bahkan mungkin akan berperang dengan Iran,” katanya.
Buku setebal 514 muka surat itu merupakan catatan peribadi Dr. Mahathir yang menghimpunkan surah-surah terpilih daripada al-Quran, lengkap dengan terjemahan, renungan, serta tadabbur beliau terhadap ayat-ayat suci tersebut.
Ia diterbitkan sebagai suatu usaha ikhlas untuk berkongsi pengalaman rohani beliau dalam memahami mesej-mesej Ilahi yang menjadi panduan sepanjang kehidupan beliau, sama ada sebagai pemimpin negara mahupun sebagai seorang Muslim yang sentiasa mencari kebenaran dan keinsafan.
Buku itu dijual pada harga RM100 dan boleh didapati di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini. – MalaysiaGazette
















