MELAKA – Seorang wanita berkongsi pengalaman manis menerima layanan mesra petugas Hospital Melaka sepanjang 11 hari menemani kakaknya yang dirawat di hospital besar itu.
Kisah itu dikongsi menerusi video TikTok berdurasi 1:01 minit sehingga ia tular dan mendapat pujian warga net, sekali gus membuktikan bukan semua pesakit di hospital itu diberikan layanan tidak sewajarnya seperti kerap dilaporkan sebelum ini.
Pengguna TikTok dengan nama Dak Syidah yang memuat naik video berkenaan Sabtu mengucapkan terima kasih kepada semua petugas Blok Kenanga Wad 1-6.

“11 hari yang penuh suka duka, terima kasih kepada semua petugas blok berkenaan atas layanan baik sepanjang kakak saya menerima rawatan.
“Bermula dari guard (pengawal keselamatan wanita), jururawat, doktor semuanya jaga pesakit dengan baik,” katanya yang turut memberikan komen balas kepada warga net lain yang berkongsi pengalaman serupa.
Menurut Syidah, dia menjaga kakaknya yang dirawat di situ selama 11 hari akibat penyakit gangguan saraf dialaminya.
Video berkenaan yang memaparkan kemesraannya dan kakak bersama jururawat selain memeluk pengawal keselamatan wanita ibarat sebuah keluarga ditonton lebih 7,000 kali, dikongsi 24 individu dan mendapat 26 komen.
Meninjau ke ruangan komen, beberapa pemilik akaun turut berkongsi pengalaman sama menerima layanan baik daripada semua petugas bermula daripada doktor, jururawat sehingga pengawal keselamatan. – MalaysiaGazette
















