Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi petrol bersasar dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) perlu mengambil kira kelangsungan perniagaan, kelestarian ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Jelas Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, tindakan sebaliknya akan menimbulkan reaksi negatif dan dianggap tidak teliti.

Menurut beliau, kos sara hidup yang dihadapi rakyat hakikatnya bukanlah isu remah bagi selintir golongan atau pegawai atasan, sebaliknya ia merupakan perkara besar bagi kerajaan.

“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah, bukannya terus-menerus membebankan rakyat atas nama subsidi ‘bersasar’ yang akhirnya memberi kesan kepada sebahagian besar masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

Dominic tidak faham mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutarakan retorik ‘anti-kaya’ setiap kali membincangkan dasar kerajaan yang akan memberi impak kepada rakyat umum.

Ini kerana katanya, apa yang dipersoalkan oleh rakyat adalah tindakan kerajaan mengenakan cukai ke atas buah-buahan mewah seperti avocado yang tidak dinyatakan secara spesifik.

“Beliau mempersoalkan, buah-buahan import mana yang perlu dikenakan cukai? Adakah epal, oren, anggur, pir, laici, longan, lemon, manggis, kiwi dan sebagainya akan turut dicukai?

“Perdana Menteri mungkin tidak tahu, bahawa sekarang ini kelapa juga perlu diimport dari luar negara bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, ini belum termasuk kerepek pisang gulung yang turut dijual di pasaran,” tambahnya.

Terdahulu, Dominic menyifatkan Anwar sering kali menyalahkan rakyat setiap kali berhadapan dengan persoalan rakyat mengenai dasar kerajaan.

“Sebagai seorang pemimpin politik yang berpengalaman, pihak yang memerintah perlu mempunyai kematangan politik, serta hati dan sikap yang rendah diri untuk menerima kritikan. Jika ada salah, betulkanlah. Jika tiada, ambillah sebagai pengajaran,” katanya.

Beliau berpendirian, kerajaan sepatutnya mengamalkan prinsip ‘Insan budiman sentiasa mengambil iktibar daripada kebaikan dan bersedia memperbaiki diri apabila melakukan kesilapan’ demi memikul tanggungjawab terhadap rakyat.

“Dalam menghadapi kritikan yang tajam, sama ada kerajaan akan berbesar hati atau marah, sama ada mengetahui tetapi tidak mengubah atau mengetahui dan segera mengubahnya, bergantung sepenuhnya kepada sikap Perdana Menteri Anwar dalam menangani isu-isu rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast