KENYATAAN media DAPSY Kebangsaan berkenaan kontroversi larangan forum di UM.

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan menyatakan bantahan keras terhadap tindakan pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) yang didakwa melarang penganjuran forum bertajuk Watch Party & Wacana: Perhimpunan Haram? di universiti itu.

Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY, Koh Ling Xian berkata, larangan itu disifatkan cubaan menyekat mahasiswa, cendekiawan serta aktivis sosial daripada membincangkan isu-isu awam di dalam kampus.

Menurutnya, tindakan itu juga merupakan satu bentuk penindasan terhadap kebebasan bersuara, kebebasan akademik serta hak berhimpun yang terjamin dalam Perlembagaan negara.

“Ia juga dilihat sebagai usaha menyekat pemikiran kritikal mahasiswa yang sepatutnya digalakkan, bukan ditakuti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, penganjur forum itu, Liga Mahasiswa mendakwa mereka dimaklumkan oleh polis bantuan UM bahawa forum tersebut tidak dibenarkan diadakan di dalam kampus universiti, dipercayai atas arahan langsung daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM.

Forum yang menampilkan aktivis seni Fahmi Reza dan peguam Rajsurian Pillai itu pada asalnya dijadual berlangsung di kampus utama universiti di sini, pukul 8 malam semalam.

Sementara itu, Ling Xian mendesak pihak pengurusan UM menjalankan siasatan segera dan memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai larangan tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memastikan semua institusi pengajian tinggi di negara ini tidak lagi menjadi alat kepada kawalan politik atau kekangan kebebasan intelektual.

“Universiti harus menjadi medan wacana, bukan medan ketakutan,” katanya dalam kenyataan.

Tamban Ling Xian, DAPSY bersolidariti penuh dengan mahasiswa yang berani menganjur dan menyertai forum seperti itu, serta menghargai keberanian mereka dalam mengangkat isu-isu masyarakat dan mencabar norma yang tidak adil.

Katanya, DAPSY juga akan terus berdiri bersama mahasiswa dalam memperjuangkan kampus yang lebih bebas, terbuka dan demokratik.

“Sehubungan itu, DAPSY menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong usaha pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta membuka ruang kepada dialog yang tulen demi memelihara autonomi universiti, kebebasan akademik dan kebebasan mahasiswa untuk menguruskan diri mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. DAP tak payah sibuk jdkan IPT sbg pusat latihan politik sempit laaa…duit pembayar cukai bina universiti utk belajar bukan utk dijadikan pusat latihan politik DAP…pergi buat kat tempat lain laaa…kami nak belajar pun ganggu terus..bengong

Comments are closed.