Naib Presiden Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS), Datuk Dr Paul Lee Kok Sun menyerahkan surat aduan kepada pegawai di pejabat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta campur tangan mengenai pelantikan jawatankuasa badan itu tidak sah.

PUTRAJAYA – Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS) meminta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan terhadap dakwaan pengambilalihan badan itu secara tidak sah tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 3 Mei lalu.

Naib presidennya, Datuk Dr Paul Lee Kok Sun berkata, ia kerana tiga aduan bertulis yang dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 7 Mei dan 3 Jun lalu tidak diendahkan pihak berkuasa sukan itu.

“PPPS menyeru Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh segera bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut ini secara adil dan mengikut undang-undang.

“Siasatan telus dijalankan terhadap Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) dan pejabat PJS berkaitan kelulusan kepimpinan yang tidak sah.

“Kepimpinan sah PPPS perlu dipulihkan seperti termaktub dalam perlembagaan persatuan yang didaftar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PPPS menghantar dua surat aduan fizikal dan tujuh kali menerusi emel kepada PJS meminta perkara itu disiasat namun pihak berkuasa sukan itu tidak memberi sebarang maklum balas.

Malah PPPS turut membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Klang Selatan pada 6 Mei lalu susulan penyalahgunaan kuasa dan tindakan sabotaj terhadap AGM badan itu.

Selain itu, Paul turut melahirkan kebimbangan apabila TTAM telah mengesahkan dan mengiktiraf kepimpinan baharu yang tidak sah ini.

“PPPS pula telah meluluskan pendaftaran mereka tapa sebarang siasatan terperinci dan bertentangan dengan proses sah AGM.

“Ia bukan sahaja menjejaskan integriti pentadbiran sukan negara, malah mencetuskan kebimbangan bahawa sebarang persatuan boleh diambil alih secara tidak sah dan tetap mendapat pengesahan rasmi daripada badan berkuasa,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, PPPS akan mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kemungkinan salah guna kuasa berlaku.

“PPPS menyeru semua pihak termasuk media, penggiat sukan dan rakyat Malaysia agar bersama dalam memperjuangkan ketelusan dan keadilan dalam pentadbiran sukan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast