CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperkenalkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang menelan kos sebanyak RM1 juta seunit.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME dibangunkan sebagai sistem sokongan strategik untuk memastikan keupayaan komunikasi semasa operasi dapat diteruskan.
Beliau berkata, PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu yang direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh MCMC serta pasukan penyelamat ketika situasi kecemasan dan bencana.
“PRIME bukan sekadar sebuah kenderaan. PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak yang menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron.
“PRIME berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi yang boleh dipercayai dan fleksibel mengikut keperluan operasi di lokasi yang mencabar,” katanya ketika berucap merasmikan PRIME di ibu pejabat MCMC, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Fahmi berkata, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini yang mana unit pertama akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC dan berperanan menyokong pelaksanaan operasi di Semenanjung Malaysia.
“Manakala, unit kedua dan ketiga dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2025, dan akan ditempatkan di pejabat MCMC Sabah dan Sarawak.
“Ia bagi memastikan liputan dan kesiapsiagaan di wilayah Malaysia Timur turut diperkukuh secara menyeluruh,” katanya.

Selain itu, katanya, PRIME membolehkan komunikasi kritikal diteruskan bagi tujuan koordinasi penyelamatan, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat bersama agensi-agensi terlibat termasuk NADMA.
“Hal ini amat penting bagi memastikan tindak balas pantas dan berkesan dapat dilaksana, walaupun termasuk di kawasan terpencil atas sukar liputan.
“Kita akan sediakan bagi tujuan agensi-agensi (keselamatan) seperti NADMA.
“Saya harap MCMC boleh bekerjasama dengan semua agensi termasuk NADMA bagi memastikan peralatan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutama waktu bencana dan kecemasan,” katanya.
Menurut Fahmi, PRIME turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih yang membolehkan komunikasi di kawasan yang langsung tiada liputan atau apabila rangkaian terrestrial terganggu.
“Bagi memperluas liputan kawasan operasi, PRIME juga menggunakan teknologi Wi-Fi jejaring (mesh Wi-Fi) serta sokongan dron untuk memanjangkan isyarat Wi-Fi.
“Keseluruhan sistem PRIME ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti tinggi dan turut disokong oleh bekalan kuasa utama bagi memastikan operasi yang berterusan tanpa gangguan,” katanya.

Dalam pada itu, PRIME juga dimanfaatkan untuk menyokong program jangkauan komuniti termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berfungsi sebagai hab digital kepada komuniti setempat.
“Dengan adanya PRIME, NADI dapat beroperasi sebagai pusat digital bergerak yang membolehkan akses Internet dibawa terus ke kawasan sasaran komuniti setempat.
“Inisiatif ini memperluas capaian perkhidmatan digital dan memudahkan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sekali gus memperkukuh penyampaian maklumat yang lebih inklusif dan responsif.
“Ia berperanan sebagai pemangkin kepada transformasi digital masyarakat, selaras dengan aspirasi negara untuk memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















