ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Sungai Petai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 tadi, Mohd Riza Abu Zarin, 44, meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori dalam perjalanan dari arah Pekan Rembia menghala ke Bandar Alor Gajah.

“Sebaik tiba ditempat kejadian sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan membuat pusingan U.

“Kereta terbabit kemudian terlanggar depan motosikal Honda RS150R FS dipandu mangsa dari arah bertentangan menyebabkannya cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala pemandu Axia yang cedera di muka dan dada mendapat rawatan di hospital sama.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast