KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menyokong cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai langkah berani demi kepentingan rakyat.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA merangkap Naib Ketua Pemuda MCA Negeri Selangor, Jacky Kuai Sin Keong berkata, cadangan itu membuktikan bahawa Akmal tidak hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum atau parti semata-mata, tetapi keseluruhan rakyat Malaysia.
“Kali ini, Akmal bukan hanya bersuara untuk satu kaum atau parti, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Sikap sebegini harus dicontohi oleh semua ahli politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jacky, mulai 1 Julai ini, kerajaan akan meluaskan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara besar-besaran meliputi sektor sewaan, pembinaan, kewangan, perubatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Malah, kadar cukai jualan bagi barangan tidak perlu juga akan dinaikkan kepada lima peratus, manakala, barangan mewah dikenakan sehingga 10 peratus.
“Langkah ini jelas membebankan rakyat, bukan meringankan. Malah, senarai barangan bebas cukai turut dikurangkan secara drastik daripada lebih 8,000 kepada hanya 1,800 barangan,” katanya.
Justeru, beliau menyokong pelaksanaan semula GST yang disifatkannya sebagai sistem percukaian lebih telus, berstruktur dan mempunyai mekanisme kredit cukai input yang mampu mengelakkan cukai berganda.
“Rakyat tidak tolak cukai, mereka hanya mahukan sistem yang adil dan jelas. SST pula bersifat bertingkat, menyebabkan pengguna bayar lebih tanpa mereka sedar,” ujarnya.
Beliau turut menggesa kerajaan agar melepaskan beban janji politik masa lalu dan meletakkan kepentingan rakyat serta kestabilan fiskal negara sebagai keutamaan.
“Tindakan Akmal yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) kali ini membuktikan keberanian dan wawasan seorang pemimpin sejati. Kita alu-alukan lebih ramai pemimpin politik yang berani melangkaui sempadan parti demi dasar yang lebih adil dan telus,” tambahnya. – MalaysiaGazette















