Gambar SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) hasil sumbangan orang ramai dipercayai melibatkan jumlah kira-kira RM26 juta.

Sumber mendedahkan kegiatan menyeleweng dana itu terbongkar susulan tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka serta Pulau Pinang bermula Khamis lalu.

Katanya, lima suspek terbabit kini direman selama tujuh hari iaitu empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis.

“Modus operandi untuk menyeleweng dana ini hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah termasuk membeli mata wang kripto.

“Mereka juga dipercayai telah memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” tambahnya.

Kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku dari sekitar tahun 2015 sehingga sekarang.

Sementera itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut dan berkata, susulan operasi itu, SPRM telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM 1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta

“SPRM juga telah membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dan menambah bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mudah²an siasatan yg telus dgn keputusan juga telus, serta diumumkan untuk pengetahuan rakyat. seluruh bukan didiamkan

Comments are closed.