Majlis Serah Terima Tugas SPRM Kedah antara Dato' Nazli Rasyid Sulong dan Datuk Ahmad Nizam Ismail disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Azmi Kamaruzaman di Bilik Mesyuarat SPRM Kedah.

ALOR SETAR – Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan untuk menggunakan teknologi baharu termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam melaksanakan tugas harian membanteras rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, penggunaan teknologi AI selaras dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sering menekankan kepada penggunaan teknologi baharu bagi menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.

“Pegawai-pegawai baru juga digalakkan menggunakan teknologi terkini dalam tugasan harian kerana cabaran penyiasatan semakin mencabar dalam era digitalisasi masa kini serta pada masa sama terus mengekalkan tahap disiplin dalam kerja masing-masing,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, SPRM Kedah di sini semalam.

Pada majlis itu, Datuk Nazli Rasyid Sulong yang sebelum ini Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM akan menjalankan tugas sebagai Pengarah SPRM Kedah yang baharu menggantikan Datuk Ahmad Nizam Ismail yang dilantik sebagai Pengarah PenMas SPRM berkuat kuasa 23 Mei 2025.

Azmi berkata, SPRM Kedah yang diterajui oleh Datuk Ahmad Nizam telah mencapai banyak kejayaan sepanjang tempoh pentadbirannya sejak 2 Februari 2024 dan turut menyarankan Dato’ Nazli Rasyid agar terus mengekalkan kecemerlangan SPRM Kedah.

Beliau berkata, SPRM Kedah juga diminta terus menjalinkan hubungan dengan agensi-agensi luar kerajaan negeri dalam usaha memantapkan kerjasama strategik.

“Bagi pihak seluruh warga SPRM, saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan Datuk Ahmad Nizam di negeri ini,” katanya.

Terdahulu dalam satu majlis berasingan, Azmi mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali yang turut dihadiri Datuk Ahmad Nizam dan Datuk Nazli Rasyid di pejabat SUK Kedah di Wisma Darul Aman di sini.

Sementara itu, Ahmad Nizam berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai program kemasyarakatan diadakan bersama komuniti-komuniti setempat bertujuan mendekatkan SPRM dengan rakyat serta menanamkan nilai-nilai integriti dan antirasuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast