Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinett Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara di Putrajaya. 16 Jun 2025. SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan merangka strategi berkesan bagi membangunkan industri jagung bijan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu juga mampu merangsang pembangunan sektor agro makanan negara, meningkatkan peluang ekonomi luar bandar dan memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil. 1/2025 yang saya pengerusikan hari ini bersetuju agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merangka strategi pembangunan industri jagung bijian tempatan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Tambah beliau perbincangan meja bulat turut  meneliti pelbagai program dan strategi bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging negara.

Langkah itu menurut beliau adalah penting dalam memastikan sektor ternakan negara kekal mampan, kukuh dan berdaya saing dalam jangka panjang, seterusnya menjamin keselamatan makanan negara untuk generasi masa depan.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk mengintegrasikan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.

“Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah kritikal, terutamanya dalam memperkasakan kesedaran rakyat terhadap amalan pemakanan sihat, ke arah membina masyarakat yang sihat dan produktif,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast