KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa 20 Julai 2025.
Beliau akan menggantikan Tan Sri Mohd Nasir Ahmad yang bersara daripada Lembaga Pengarah pada 19 Julai ini.
Sejajar dengan peralihan ini, Syed Zaid akan dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa 18 Jun 2025.
Syed Zaid merupakan seorang peguam yang memiliki empat dekad pengalaman dalam pelbagai bidang terutamanya dari segi perkhidmatan kewangan serta advisori korporat.
Beliau juga merupakan rakan pengasas Albar & Partners yang ditubuhkannya sendiri dalam landskap pasaran kewangan dan perundangan Malaysia khususnya hutang dan pembiayaan ekuiti serta kewangan Islam.
Beliau meninggalkan bidang guaman pada 2018 selepas dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sehingga pertengahan 2022. -MalaysiaGazette
















