PETALING JAYA – Tidak mahu berkahwin, dan yang berkahwin tidak mahu mempunyai anak. Begitulah keadaan yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini.
Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Goh Soo Khoon berkata, daripada satu kajian yang dilakukannya, hanya 22.5 peratus orang Cina yang diselidik menyatakan hasrat mahu berkahwin.
Beliau memberitahu Sinchew Daily, daripada 22.5 peratus yang mahu berkahwin, sebanyak 28.47 peratus pula menyatakan tidak mahu memiliki anak.
Hasil itu adalah dapatan daripada kajian yang melibatkan 920 orang di negeri Pulau Pinang yang berumur antara 20 hingga 45 tahun, dengan berstatus bujang atau bercerai.
Responden kajian termasuk 420 bumiputera, 400 Cina dan 100 India.
Soo Khoon berkata, daripada tiga kaum yang ada, bumiputera mempunyai hasrat berkahwin yang paling tinggi iaitu 62.62 peratus, dengan hanya 6.67 peratus menyatakan tidak mempunyai rancangan berkahwin.
Katanya, keadaan itu bertentangan dengan orang Cina, iaitu hanya 22.5 peratus yang menyatakan mahu berkahwin, 46 peratus tidak pasti dan 31.5 peratus menyatakan tidak berniat berkahwin.
“Untuk orang India pula, 46 peratus menyatakan mahu berkahwin, 20 peratus tidak dan 34 peratus tidak pasti,” katanya.
Mengenai niat mempunyai anak dalam kalangan yang berhasrat berkahwin, bumiputera sekali lagi mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 95.92 peratus.
“Orang India pula adalah 90 peratus dan 71.53 peratus untuk orang Cina,” katanya.
Menurutnya lagi, bumiputera juga cenderung untuk mempunyai keluarga besar dengan 50.27 peratus bumiputera mahukan lebih daripada dua anak.
“65.31 peratus responden Cina cenderung mahukan dua anak dan 13.78 peratus mahukan lebih daripada dua anak.
“52.78 peratus responden India mahukan dua anak dan 20.83 peratus mahu lebih daripada dua anak,” katanya.
Beliau berkata, 28.47 peratus orang Cina tidak merancang untuk memiliki anak, berbanding 4.08 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk India. – MalaysiaGazette
















