Formasi perbarisan oleh 28 pegawai dan 529 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena sambutan HUT ke-67 di Pangkalan Udara Kuantan hari ini

KUANTAN – Perbarisan oleh 28 pegawai, 529 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mewarnai sambutan hari ulang tahun ke-67 di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, perbarisan pada hari ini bukan sekadar memperingati tarikh penubuhan TUDM pada 1 Jun 1958 tetapi juga mengangkat semangat perjuangan, pengorbanan dan profesionalisme warganya yang telah meletakkan asas kukuh kepada keselamatan ruang udara negara.

”Bertemakan ’Kuasa udara, perisai kedaulatan negara, sentiasa di angkasaraya’ perbarisan tempur pada hari ini telah mempamerkan kesiagaan anggota dan aset TUDM.

”Sejak enam dekad lalu, TUDM telah berkembang daripada sebuah pasukan kecil kepada sebuah angkatan udara moden, kredibel dan berkeupayaan pelbagai dimensi, meliputi operasi udara konvensional, misi bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman bukan tradisional,” katanya ketika sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.

Ujarnya, sepanjang 40 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah menyaksikan perubahan besar dalam struktur, doktrin teknologi dan pembangunan modal insan TUDM.

Katanya, kejayaan TUDM pada hari ini bukan milik beliau seorang, tetapi hasil kerjasama seluruh warganya.

Katanya, TUDM akan terus menumpukan sepenuh perhatian kepada pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau dikenali sebagai CAP55.

Pelan tersebut merupakan agenda strategik untuk membentuk sebuah angkatan udara lean, lethal dan networked yang mampu menangani cabaran keselamatan masa hadapan termasuk ancaman siber, peperangan elektronik, dron autonomi dan konflik hibrid.

”CAP55 bukan untuk saya dan kepimpinan yang ada sekarang, tetapi ia untuk generasi perwira dan perajurit yang akan datang untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dalam melidungi kedaulatan ruang udara negara.

”Alhamdulillah, TUDM hari ini berada pada landasan yang kukuh sebagai benteng pertahanan negara, hasil sumbangan setiap generasi sejak 1958,” tambahnya.

Ujar beliau perbarisan hari amat bermakna kerana ia merupakan perbarisan sambutan ulang tahun terakhir buatnya.

”Dalam sedikit masa lagi, saya akan menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah lebih empat dekad menabur bakti, menggalas amanah dan mempertahankan tanah air yang tercinta ini,” tambahnya.

Katanya, tampuk kepimpinan TUDM diamanhkan kepada timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris. yang merupakan seorang pegawai tinggi yang berwibawa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast