Tertuduh, Khairol Adri Rosli, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah dan membuat tuntutan palsu berjumlah RM126,100 pada 2023 dan tahun lalu.

MELAKA – Bekas Pengarah Belia dan Sukan Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah dan membuat tuntutan palsu berjumlah RM126,100 pada 2023 dan tahun lalu.

Tertuduh, Khairol Adri Rosli, 51, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengemukakan butiran matan palsu terhadap kerja-kerja menaik taraf gelanggang tenis dan petanque di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka bernilai RM126,100.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Melaka pada 8 Disember 2023.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butiran palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh menerima RM8,000 daripada Shaari So’od, 63, yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja menaik taraf gelanggang tenis dan petanque di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka bernilai RM126,100.

Perbuatan itu dilakukan di empat lokasi berbeza sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Bukit Baru, Melaka antara 25 September 2023 hingga 25 Jun 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap tertuduh dengan syarat-syarat tambahan.

Peguam T. Gajendran yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih belajar selain isteri dan ibunya.

Hujahnya, anak guamnya juga bakal digantung tugas dan menerima separuh gaji ekoran kes berkenaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast