JOHOR BAHRU – Mendiang cikgu Lo Kwan Fong yang ditemui sudah meninggal dunia dalam rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Iskandar Puteri di sini tinggal sebatang kara dan tidak berkahwin.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Aznan Tamin berkata, maklumat itu diperolehi pihak sekolah selepas melakukan siasatan menerusi jirannya.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi juga mendapati mendiang juga merupakan anak tunggal.
“Guru tersebut (Lo Kwan Fong) merupakan anak tunggal dan telah kematian bapa dan ibunya pada 1 Mei 2010,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, mayat wanita itu ditemui selepas jiran menyiasat punca bau busuk sebelum membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada pukul 8 malam Khamis lalu.
Katanya, siasatan mendapati wanita berkenaan yang tinggal seorang diri dipercayai telah meninggal dunia dalam anggaran tempoh sebulan.
“Hasil bedah siasat yang telah dijalankan oleh doktor pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru mendapati punca kematian unascertained (advance decomposition),” ujar Kumarasan.
Aznan berkata, setakat ini, kes kematian Kwan Fong diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan.- MalaysiaGazette
















