CHANGDE, China – Sembilan orang terbunuh dan 26 lagi cedera dalam letupan di sebuah kilang bunga api di wilayah Hunan, tengah China.

China National Radio (CNR) melaporkan, usaha menyelamat yang mencabar masih diteruskan lebih 24 jam selepas insiden berlaku.

Letupan tersebut berlaku pada pagi Isnin, kira-kira jam 8.30 pagi, di sebuah kilang yang terletak di sebuah kampung berhampiran bandar Changde.

Setakat jam 9 pagi Selasa, seramai sembilan maut dan 26 cedera, menurut pusat arahan penyelamat yang dipetik oleh CNR.

Usaha menyelamat masih berlangsung dengan keadaan di lokasi digambarkan sebagai “rumit”, termasuk risiko letupan susulan yang menyukarkan operasi.

Lebih memburukkan keadaan, kilang berkenaan terletak di kawasan pergunungan tanpa sumber air besar.

“Sepanjang lebih 20 jam operasi menyelamat tanpa henti, pasukan penyelamat menggunakan meriam air kawalan jauh untuk memadamkan kebakaran,” menurut laporan itu.

Agensi berita rasmi Xinhua pula melaporkan Kementerian Pengurusan Kecemasan China telah menghantar pasukan khas ke Hunan untuk memantau dan menyelaraskan operasi menyelamat.

“Usaha mesti dipergiat bagi mengenal pasti punca letupan secepat mungkin dan memastikan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan,” kata kementerian itu sebagaimana dipetik Xinhua.

Kemalangan industri adalah perkara biasa di China, disebabkan oleh penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah dan piawaian keselamatan yang longgar.

Bulan lalu, letupan di sebuah kilang kimia di wilayah timur Shandong meragut sekurang-kurangnya lima nyawa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast