KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang merancang membangunkan Ladang Solar Terapung menjelang tahun 2028, seiring Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknoogi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji lokasi pembinaannya, antaranya di Empangan Chereh, di sini.
“Floating Solar ini tidak bersaing dengan tanah lain untuk kegunaan industri dan pertanian.
“Kalau buat atas darat memang bagus, tapi ada di sesetengah tempat ada kos peluang (oppurtunity cost) di mana tanah itu boleh digunakan untuk industri pertanian dan sebagainya.
“Walaupun ada ladang solar yang boleh lakukan pertanian pada masa yang sama, tapi saya difahamkan tanaman kontan yang boleh hidup dengan panel solar ini amat terhad buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran AI For Productivity Transformation dan Majlis Penutup Program SPEED GCPV, di sini, hari ini.
Disebabkan itu, katanya kerajaan negeri turut mensasarkan lebih ramai tenaga pakar dilatih bagi teknologi tenaga solar sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah kelestarian dan memacu sasaran NetZero 2030.
Mohamad Nizar memberitahu, sehingga kini, seramai 288 individu telah mengambil bahagian dalam kursus berkaitan tenaga solar di Pahang Skills.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan Ladang Solar Terapung merupakan salah satu daripada kajian perolehan tenaga boleh baharu (renewable energy) selain melihat potensi teknologi lain seperti Penyimpanan-pam hidroelektrik (pumped hidropower) dan tenaga nuklear.
“Walaupun ada yang sangsi dengan tenaga nuklear, tapi ada yang berpaksikan modul yang lebih kecil, tidak terlalu besar.
“Di negara-negara maju seperti di Sweden, mereka telah mengamalkan tenaga nuklear begitu lama dan tenaga nuklear mampu membekalkan tenaga yang lebih rendah,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Nizar berkata, ia masih dalam peringkat kajian dan memerlukan sesi libat urus bersama pihak awam sebelum tindakan lanjut.
Kerajaan negeri juga bekerjasama dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memasang ladang angin pertama sebagai langkah meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Negeri Pahang.
“Projek bernilai RM800 juta ini dilaksanakan bagi pembangunan ladang angin dua gigawatt (GW) di empat daerah iaitu Pekan, Rompin, Kuantan dan Lipis.
“Projek Ladang Solar berskala besar juga dibangunkan di Kawasan Perindustrian Gebeng di kawasan seluas 450 ekar bagi menyokong industri berintensifkan tenaga, menarik pelaburan pusat data dan menjadikan Pahang sebagai hab tenaga bersih untuk zon perindustrian pantai timur,” tambahnya.
Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang katanya, kini sedang menyelia lima projek tenaga solar dengan pelaburan sebanyak RM200 juta setiap satu, manakala Invest Pahang akan mengkaji cadangan lain, termasuk penubuhan ladang solar terapung dan ruang mengecas kenderaan elektrik. – MalaysiaGazette
















