MELAKA – Pelajar sekolah yang menjadi suspek utama pembunuhan kejam ibu dan abangnya di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai Melaka awal pagi 12 Jun lalu akan didakwa esok.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit malam ini.
“Untuk makluman, suspek kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) akan dituduh di mahkamah esok,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Khamis lalu, MalaysiaGazette melaporkan kes pembunuhan yang menggemparkan negara apabila dua beranak itu ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah setingkat berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
Mangsa guru sekolah, 51, dan anak sulungnya, 21, maut dengan beberapa kesan tikaman di badan dan leher manakala anak bongsunya, 13, turut cedera parah apabila ditikam suspek menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Suspek, pesalah juvana berumur 17 tahun merupakan anak kedua guru berkenaan yang juga ibu tunggal selepas kematian suami pada Januari lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini mengesahkan faktor tekanan dan dendam terpendam daripada ibu dan abang suspek yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif utama dua beranak itu dibunuh kejam.
Remaja 17 tahun itu ditahan di luar garaj rumah selepas berada keadaan bingung ketika polis tiba dan hasil pemeriksaan menjumpai pisau yang dipercayai digunakan di dalam beg sekolahnya. – MalaysiaGazette
















