KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa membatalkan cadangan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik kerana langkah itu hanya akan terus membebankan rakyat pada masa ini.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat sudah lama menanggung situasi kos sara hidup meningkat dibebani pelbagai jenis kesan penghapusan subsidi serta peningkatan kos sara hidup.
“Rakyat baru sahaja dibebankan dengan penghapusan subsidi diesel dan kenaikan kadar SST pada tahun lalu.
“Kini rakyat dibebankan lagi dengan cadangan kenaikan tarif elektrik dan peluasan skop SST. Selepas ini, pelarasan subsidi RON95 pula akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, meskipun kerajaan menyatakan langkah-langkah ini bersasar namun kesan langsung terhadap harga barang serta kos sara hidup tetap akan dirasai majoriti rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksakan rakyat di peringkat bawah dan pertengahan yang merupakan 85 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
“Kerajaan mesti mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara bukan dengan berterusan membebankan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas cadangan kenaikan tarif elektrik, beliau mempersoalkan rasional langkah tersebut ketika Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan keuntungan tinggi dalam tempoh suku pertama tahun ini.
“TNB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.04 bilion pada suku pertama tahun ini, iaitu kenaikan sebanyak 53.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Dalam keadaan ini, kenapa rakyat pula yang perlu menanggung beban tambahan,” soalnya.
Muhyiddin turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar yang munasabah dan tidak membebankan rakyat selepas menjalankan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh.
“Saya percaya SST dalam bentuk yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding dasar GST yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat, bukannya menambah penderitaan mereka.
“Jika perkara yang paling asas ini pun tidak dapat dilaksanakan maka kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
















