Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua individu meibatkan seorang penjawat awam dan seorang pesara sebuah jabatan kerajaan di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM66,000 sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah dan melakukan bancian lot tanah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu telah ditahan kira-kira antara jam 10 hingga 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 walaupun kedua-duanya tiada kelayakan untuk memproses permohonan dan juga tidak memiliki lot tanah untuk tujuan bancian.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM54,000 dan RM12,000 setiap seorang daripada beberapa individu bagi tujuan memproses permohonan tanah dan melakukan bancian lot tanah di bawah skim tanah milik kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tambah beliau, kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast