KUALA LUMPUR – Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bukan sesuatu yang mudah untuk beliau melepaskan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Apatah lagi, katanya, selepas dua tahun, beliau sudah menganggap pasukan NRES, jabatan dan agensi di bawahnya sudah mencapai tahap dream team (pasukan impian) dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa.
Namun, ujar beliau, keputusan melepaskan jawatan menteri itu dibuat adalah untuk perkiraan yang lebih besar.
“Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran sama, Nik Nazmi turut memetik kata-kata Pengurus Liverpool, Jurgen Kloop ketika mengumumkan peletakan jawatannya.
“I love absolutely everything about this club… I love the staff… But that I still take this decision shows you that I am convinced it is the one I have to take”.
“Itulah perasaan saya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Nik Nazmi dan Datuk Seri Rafizi Ramli menarik balik keputusan meletak jawatan masing-masing dan menyertai semula Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurut Anwar, beliau masih memberi masa kepada Nik Nazmi dan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka.
Ketika ini, Rafizi dan Nik Nazmi sedang bercuti selepas menghantar surat peletakan jawatan masing-masing susulan kekalahan mereka pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung bulan lalu.
Berdasarkan surat peletakan jawatan mereka, tugas Rafizi selaku Menteri Ekonomi akan berakhir berkuat hari ini, manakala Nik Nazmi berkuat kuasa 4 Julai depan. – MalaysiaGazette
















