Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel (tengah) berjalan keluar dari mahkamah selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 17 JUN 2025.
PUTRAJAYA – Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa susulan imejnya terpalit dengan kes amang seksual remaja bawah umur.
Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, walaupun pertuduhan itu berat, namun beliau menyerahkan kes itu kepada sistem kehakiman untuk membersihkan namanya.
“Semua ada persoalan dan banyak tanda tanya, malah kes ini mengejutkan sesetengah pihak.
“Naim belum bercadang nak mengulas panjang perkara ini kerana kita masih di peringkat awal, nanti mengganggu perbicaraan nanti.
“Naim komited beri kerjasama penuh bagi membersihkan nama Naim dan diharap dapat doa daripada semua orang,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Terdahulu Naim, 28, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan bawah umur di sebuah hotel di Petaling Jaya, 19 Mei lalu.
Bagaimanapun, Naim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Selebriti tempatan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, Naim melahirkan rasa terharu apabila ramai peminatnya mendoakan urusan beliau ketika berdepan ujian berat itu dengan tenang.
“Alhamdulillah keadaan Naim sihat, terima kasih sebab bertanya.
“Naim sekarang hanya fokus untuk kesejahteraan sahaja,” katanya.
Ketika ditanya tentang kesihatan mentalnya, Naim berkata beliau masih terkawal malah tidak melatah sebaik sahaja terpalit dengan kes jenayah itu.
“Alhamdulillah okay, Naim pun tidak melatah, buat masa sekarang betul-betul fokus untuk perkara ini dahulu
“Alhamdulillah semuanya okay,” katanya.
Lebih terharu katanya, beliau tidak keseorangan ketika diuji, malah keluarga sentiasa bersama dan memberi sokongan.
“Keluarga semua Alhamdulillah semua okay, tiada masalah dan semuanya pun bagi doa yang baik
“Ya (keluarga ada datang),” katanya.
Ditanya tentang aktivitinya selepas ini, beliau berkata penyanyi itu masih berbincang dengan pihak pengurusan.
“Untuk persembahan, Naim masih lagi berbincang dengan pihak pengurusan.
“Buat masa sekarang kita laksanakan apa yang ada dekat depan kita orang sahaja lah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast