TEL AVIV – Beribu-ribu penduduk Israel melarikan diri dengan menggunakan kapal layar ke Cyprus berikutan penutupan ruang udara negara itu akibat peperangan dengan Iran.
Akhbar Haaretz menyifatkan marina Herzliya yang kini menjadi tumpuan penduduk Israel sebagai terminal sementara dengan sekurang-kurangnya 100 orang bersedia untuk belayar pada satu pagi.
Akhbar tersebut memetik kumpulan dalam laman Facebook menyifatkan marina tersebut sebagai ‘jalan keluar pangkalan laut’ yang mana ia membuktikan beratus-ratus orang cuba meninggalkan negara tersebut dengan menggunakan jalan laut.
Berikutan terdapat permintaan, ada antara mereka yang sedia menyediakan perkhidmatan dan terdapat penumpang yang sanggup membayar 2,500 shekel (AS$713) seorang yang mana perjalanannya memakan masa selama 25 jam.
“Seseorang menawarkan saya ebanyak 6,000 (shekel),” kata salah seorang penumpang sambil menmbah semuanya mengenai bekalan dan permintaan.
Seorang individu memberitahu akhbar itu bahawa harga bergantung kepada jenis kapal layar dan kemudahan yang disediakan serta berapa pantas kapal tersebut boleh bergerak.
Penumpang tersebut menjelaskan, terdapat beberapa kapal layar menggunakan minyak diesel mempunyai kabin persendirian dan boleh sampai ke Cyprus dalam masa lapan jam.
Sesetengah kapal layar beroperasi secara haram, menurut seorang kapten kapal komersial kepada akhbar itu sambal menambah, terdapat pemilik kapal layar mengenakan bayaran tanpa menyediakan insurans kepada penumpang mereka.
Menurut Haaretz, hanya beberapa orang yang ditemui di marina Herzliya mengaku mereka meninggalkkan Israel kerana ancaman peluru berpandu Iran dan tiada seorang sanggup bercakap secara terbuka kepada wartawan.
Terdapat antara mereka menyatakan mereka tidak tinggal di Israel dan ‘hanya mahu pulang ke rumah’ manakala ada yang memberitahu mereka meninggalkan Israel untuk bersama-sama anak dan pasangan yang berada di luar negara.
Haaretz melaporkan kini terdapat kira-kira 40,000 pelancong asing berada di Israel.
Akhbar itu melaporkan, untuk meninggalkan Israel dengan menggunakan jalan darat boleh dilakukan menerusi Mesir dan Jordan, bagaimanapun tempoh pembukaan pintu sempadan adalah terhad dan permintaanya tinggi yang menyebabkan masa yang lebih panjang diperlukan untuk menyeberangi sempadan. – Agensi
















