KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang daripada kekosongan dua jawatan menteri ketika ini untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap anggota Kabinet.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu menegaskan, langkah tersebut penting memandangkan negara kini sedang berdepan hutang yang tinggi serta tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
“Ketika Anwar mengumumkan barisan kabinet pada tahun 2023, beliau dengan bangganya menyatakan bahawa barisan ini mencerminkan prinsip ‘kualiti berbanding kuantiti’ dalam Kerajaan Perpaduan. Namun hakikatnya, jumlah menteri telah meningkat daripada 28 kepada 30.
“Sebenarnya, bilangan kementerian yang kini sebanyak 27 boleh dikurangkan kepada 25 atau kurang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dominic, langkah pengurangan jumlah menteri dan gaji wajar dilakukan bersama usaha mengecilkan perbelanjaan pentadbiran kerajaan yang disifatkannya sebagai semakin membebankan.
Selain itu, beliau turut menggesa agar struktur perkhidmatan awam negara yang dikatakan semakin membengkak dikaji semula, namun menegaskan sebarang langkah penyusunan semula tidak seharusnya melibatkan pemberhentian kakitangan awam.
“Sebaliknya, ia boleh dilakukan menerusi pelan penempatan semula jabatan yang bersesuaian,” katanya lagi.
Dominic turut menegaskan pengurangan bilangan anggota kabinet akan menunjukkan iltizam kerajaan dalam melaksanakan dasar berjimat cermat.
Namun lebih penting, katanya, adalah bagaimana kerajaan dapat membantu rakyat mengatasi tekanan hidup dan menyokong pemulihan ekonomi secara menyeluruh.
“Ini adalah kunci utama. Kabinet perlu berusaha ke arah ini untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, perniagaan dan menyelamatkan ekonomi negara secara menyeluruh,” tambah beliau.
Bagaimanapun, Dominic berpendapat bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai keberanian dan daya kepimpinan politik untuk melaksanakan langkah pengurangan itu kerana terlalu bimbang terhadap kestabilan kerajaan perpaduan.
“Inilah realiti politik! Sekiranya Anwar benar-benar seorang penggerak reformasi institusi, beliau tidak akan bersikap terlalu teragak-agak dalam isu-isu yang melibatkan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.
“Namun demi mengurangkan perbelanjaan pentadbiran kerajaan, Anwar mesti serius mempertimbangkan isu ini dan tidak hanya sentiasa mahu ‘memerah’ wang daripada rakyat dengan pelaksanaan pelbagai cukai baharu,” katanya.
Menurut beliau, penggabungan jabatan tidak semestinya menjejaskan kecekapan pentadbiran, sebaliknya jika dirancang dengan baik, tugasan boleh dikongsi oleh Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian.
“Pakatan Harapan sering melaungkan reformasi institusi dalam pilihan raya lalu, maka tidak seharusnya ada terlalu banyak kebimbangan – hanya perlu duduk sama rendah, bahagi jawatan sama rata,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















