KUALA LUMPUR – Kereta sewa tidak berlesen atau ulat yang didapati mengambil penumpang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 boleh dikenakan tindakan melucutkan hak kenderaan.
Tindakan ini buat pertama kali dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada pada 11 Jun lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ berkata, orang kena saman (OKS) dalam kes ini telah dituduh di bawah Seksyen 205 dan dijatuhkan hukuman di bawah akta sama dengan denda dikenakan RM5,000.
“Sudah tiba masa untuk tindakan drastik dan tegas dikenakan kepada kumpulan ulat yang beroperasi secara haram sekaligus memutuskan rangkaian aktiviti salah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Ops Khas Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Turut hadir operasi khas itu melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Jana Santhiran dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.
Tegas beliau, mana-mana individu tempatan yang ditangkap secara berulang sebanyak tiga kali sebagai ‘ulat’, kenderaan miliknya akan disyorkan untuk dilucut hak.
Manakala bagi pesalah warga asing pula yang melakukan perkara sama katanya, kesalahan pertama sudah layak untuk dikenakan tindakan dilucut hak kenderaan.
Muhammad Kifli, bagi kenderaan pengangkutan awam termasuk teksi yang melakukan kegiatan ulat turut dikenakan tindakan sama.
“Sekiranya JPJ sebelum ini hanya tangkap, dakwa dan lepas pesalah, namun kini tindakan tegas serta drastik akan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan ulat secara berleluasa.
“Jika saman mereka boleh bayar hasil daripada pendapatan lumayan kegiatan ulat, kini kita ubah kepada terus melucut hak kenderaan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berharap tindakan mengesyorkan lucut hak itu dapat mengurangkan kegiatan ulat di negara ini terutama di KLIA.
Ujarnya, sebanyak 80 tangkapan telah dibuat sepanjang tahun ini dengan 69 daripadaya menggunakan kenderaan persendirian dan 10 lagi kenderaan perkhidmatan awam.
Malah caj penghantaran dikenakan adalah tinggi di antara RM80 hingga RM150 untuk ke Kuala Lumpur berbanding teksi biasa atau Limo hanya RM65 hingga RM80 sahaja. – MalaysiaGazette
















