JOHOR BAHRU – Pengaruh media sosial dikesan antara punca menyumbang peningkatan kes rogol babit golongan remaja melibatkan 54 kes direkodkan di Johor pada 2023 hingga tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, perkembangan itu semakin membimbangkan dan perlu diatasi segera termasuk usaha membasminya bermula di peringkat sekolah.
“Peningkatan kes ini adalah pengaruh media sosial berunsur lucah yang mudah diakses dan kurangnya pengetahuan orang awam terhadap undang-undang berkaitan jenayah ini.
“Kerosakan instituisi keluarga turut menjadi faktor pemangkin yang menyebabkan remaja terlibat kurang perhatian, kasih sayang atau kawalan daripada ibu bapa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner, Nor Azizi Maarof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner, Hoo Chuan Huat.
Justeru kata Kumar, polis Johor melalui Unit Siasatan Seksual (D11) mengambil tindakan proaktif dengan turun ke sekolah-sekolah dan menyampaikan ceramah bagi memberi kesedaran kepada pelajar berkaitan jenayah berkenaan.
“Saya menyeru agar semua pihak mengambil serius dan bersama-sama membendung perkara ini. Curahkan kasih sayang sepenuhnya dan didiklah anak- anak dengan pegangan agama dan nilai moral yang tinggi serta mengutamakan instituisi kekeluargaan.
“Selain itu, kita semua perlu peka dengan aktiviti dan pergaulan anak-anak,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Kumar berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor mempamer prestasi cemerlang apabila berjaya menumpaskan 21 sindiket pengedaran dadah sejak awal tahun hingga bulan lalu.
Sepanjang tempoh itu, JSJN telah menangkap 58 ahli sindiket melibatkan rampasan dadah bernilai RM81.07 juta dengan nilai sitaan pelbagai aset berjumlah RM2.26 juta.
“Dalam tempoh sama, JSJN Johor turut merekodkan 10,794 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah dan membuat rampasan dadah bernilai RM83.18 juta dengan sitaan harta bernilai RM7.49 juta.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor turut berjaya merekodkan penyelesaian jenayah indeks di Kontinjen Johor sebanyak 59.64 peratus. PDRM Johor akan terus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















