Saifuddin Shafi

SHAH ALAM – Kenyataan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Dr Afif Bahardin yang mendakwa sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) di Selangor semakin meningkat disifatkan sebagai syok sendiri dan tidak bersandar pada realiti sebenar politik negeri ini.

Pengarah Strategik Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kenyataan itu tidak mengejutkan kerana PN ketika ini ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’, hanya bergantung kepada persepsi kosong dan retorik semata-mata untuk kekal relevan dalam landskap politik negeri.

“Kalau betul mereka begitu diyakini rakyat seperti yang didakwa Afif, PN sudah pun berjaya merampas Selangor pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Namun, walaupun mereka menggunakan taktik serangan 3R secara berterusan dan tanpa segan silu, rakyat Selangor tetap memilih gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang lebih stabil dan meyakinkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin mengulas kenyataan Afif yang mendakwa kononnya ADUN PN kini dilihat seperti kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana sentiasa turun padang dan dekat dengan rakyat.

Menurutnya, persepsi itu wujud bukan kerana kekuatan sebenar ADUN pembangkang, tetapi kerana bantuan dan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

“Afif seharusnya insaf dan bersikap jujur. ADUN PN hanya boleh ‘bergerak’ kerana mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Namun begitu, mereka tetap gagal menyaingi kualiti kerja dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri yang ditunjangi PH dan BN jelas menunjukkan keupayaan mentadbir dengan efisien, menerusi penglibatan aktif wakil rakyat serta agensi kerajaan dalam menyantuni rakyat, menyelesaikan aduan setempat dan melaksanakan dasar pembangunan yang inklusif dan progresif.

“Kita bukan sahaja komited bekerja untuk rakyat, malah yakin dalam pusingan akan datang, Perpaduan Selangor mampu kembali menguasai majoriti dua pertiga di DUN. Itu sasaran yang realistik berdasarkan prestasi semasa,” tegasnya.

Saifuddin juga menempelak sikap sesetengah ADUN PN yang masih berfantasi seolah-olah mereka merupakan kerajaan negeri.

Katanya, realiti sebenar adalah mereka perlu lebih banyak bekerja dan kurangkan bermain persepsi.

“Ini bukan masa untuk hidup dalam khayalan. Sebahagian mereka perlu menerima hakikat bahawa zaman sebagai kerajaan telah berlalu.

“Tambahan pula, ramai dalam kalangan mereka masih dibayangi dengan imej sebagai pengkhianat mandat rakyat, sesuatu yang akan terus membayangi kerjaya politik mereka untuk tempoh yang lama,” katanya lagi.

Menurut Saifuddin, politik masa kini tidak lagi boleh bergantung kepada sentimen semata-mata, sebaliknya dinilai melalui prestasi sebenar di lapangan.

Tegasnya, rakyat semakin celik dan tidak mudah termakan dengan retorik kosong. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast