Anwar ketika berucap menutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Datuk Seri Anwar berkata, pembangunan ekonomi dan teknologi negara akan terus berteraskan nilai serta teras budaya masyarakat Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia tidak akan lari daripada prinsip tersebut walaupun seluruh dunia sedang mengalami transformasi dan modenisasi.

“Pembangunan pesat di Malaysia dan Johor adalah untuk rakyat, bermakna ada elemen kemanusiaan yang perlu diambil kira termasuklah aspek kesejahteraan hidup, pendidikan, kesihatan dan teknologi.

“Terdapat keperluan untuk menggesa generasi sekarang menumpukan kepada pelbagai disiplin baharu.

“Benar kita akan ketinggalan jika tidak mengadaptasi teknologi serta kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan tetapi perlu perlu berasaskan nilai moral, budaya dan bahasa tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap menutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Forum Nikkei Medini Johor yang berlangsung selama dua hari dan bertemakan ‘Menerajui Hab Inovasi Asia’ itu menghimpunkan seramai lebih 800 peserta dan delegasi secara fizikal termasuk yang mengikutinya secara dalam talian

Sementara itu, Anwar berkata, di sebalik cabaran ekonomi global termasuk dasar tarif yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Dolnad Trump dan pergolakan di Timur Tengah, Johor terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan.

Beliau berkata, Johor kini berada di landasan tepat dengan kepesatan pembangunan dan kelulusan pelaburan yang membanggakan hasil daripada usaha strategik yang digerakkan agensi seperti Iskandar Investment Berhad (IIB).

“Setinggi tahniah juga kepada kerajaan Johor dan IIB kerana upaya mereka dan kesedaran terhadap ketidaktentuan dunia daripada segi hala tuju dan keputusan-keputusan besar (diambil baru-baru ini yang mempengaruhi dunia).

“Ini termasuk dasar tarif oleh Presiden Trump, konflik sengit membabitkan Iran, Israel, Gaza dan peperangan di Ukraine,” ujarnya.

Semua perkembangan itu, katanya, menuntut Johor, Malaysia dan ASEAN untuk membina kekuatan baharu berasaskan pertumbuhan ekonomi dan perancangan yang teratur.

Anwar turut memuji pelaksanakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini telah mendapat tumpuan pelbagai pemimpin dari seluruh dunia.

“Malahan ketika pertemuan saya dengan Perdana Menteri Jepun baru-baru ini, beliau juga membangkitkan soal JS-SEZ apabila bercakap tentang Malaysia bukan Putrajaya sahaja.

“Bukan sahaja Jepun, JS-SEZ juga telah menarik minat pelabur China, Korea Selatan dan juga negara-negara Eropah. Ini kerana zon ekonomi ini melibatkan kerjasama baik antara dua negara yang mahu melihat keduanya terima manfaat.

“Kredit harus diberikan kepada agensi kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Johor dan juga kepada Singapura kerana komited tinggi diberikan dalam menjayakan inisiatif ini,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast