Universiti Malaya

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya dalam sejarah, Universiti Malaya (UM) mencapai pencapaian terbaiknya apabila berjaya menduduki tempat ke-58 dunia dalam QS World University Rankings 2026, mengatasi kedudukan ke-60 pada tahun lalu dan menandakan prestasi terbaik pernah dicapai UM di persada global.

Naib Canselor, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, peningkatan dalam kedudukan UM ini mencerminkan komitmen teguh dan fokus berterusan universiti dalam menghasilkan impak terbaik, bukan sahaja dalam bidang akademik, penyelidikan dan intelektual, tetapi yang lebih penting, dalam membawa perubahan positif kepada negara, dunia dan kemanusiaan sejagat.

Edisi 2026 QS Rankings telah menilai lebih daripada 8,400 institusi di seluruh dunia, dengan hanya 1,501 universiti disenaraikan secara rasmi.

UM menunjukkan peningkatan prestasi dalam reputasi akademik dan majikan, kerjasama penyelidikan antarabangsa, kebolehpasaran graduan, serta kemampanan.

Lebih membanggakan, UM menerajui negara dalam lima daripada 9 indikator QS, mengukuhkan daya tarikan globalnya serta komitmen kepada persekitaran akademik yang inklusif.

“Kejayaan ini merupakan satu kebanggaan besar buat seluruh negara, dan ia tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras, pengorbanan serta sokongan berterusan daripada seluruh komuniti kampus daripada para akademik dan penyelidik, sehinggalah kakitangan pentadbiran, sokongan serta para pelajar.

“Pelbagai pelaksanaan strategik melalui reformasi dan transformasi berpaksikan masa depan yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu kini mula membuahkan hasil. UM akan terus komited dan teguh meneruskan perjalanan transformasi ini untuk mengangkat universiti ke tahap tertinggi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, struktur tadbir urus UM telah diperkemas dan ditransformasi, yang menyumbang kepada kejayaan ini, selari dengan aspirasi dan pandangan jauh Perdana Menteri, Dauk Seri Anwar Ibrahim, dalam menyeru kepada struktur kerja dan tadbir urus yang berpandangan jauh serta berasaskan nilai daya saing, integriti, keberkesanan dan keadilan.

Dr. Azuan menegaskan bahawa usaha menaikkan taraf dan kedudukan universiti bermula dengan keupayaan tadbir urus yang mantap dan berkesan, di mana keberhasilan terbaik, produktiviti serta kecekapan dapat dicapai menerusi matlamat tadbir urus baharu yang memberi tumpuan kepada sinergi strategik pemerkasaan modal insan dan bakat, serta impak daripada kemajuan teknologi, digital dan infrastruktur.

“Universiti sedang memperluas capaiannya di peringkat antarabangsa dengan pesat, sambil memperkukuh usaha mengenal pasti bakat serta membawa masuk kepakaran dari seluruh dunia. Ilmu dan bakat terbaik sedang dimanfaatkan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kami ke arah mencipta perubahan positif buat dunia.

“Daripada penyediaan program pasca kedoktoran dan geran kepada bakat dalam dan luar negara, hingga kepada pengukuhan kerjasama strategik dengan negara-negara dan institusi utama dunia, universiti ini terus melangkah ke hadapan tanpa gentar untuk berada di kalangan yang terbaik di dunia.

“Dalam menghadapi pelbagai cabaran global, universiti akan terus memainkan peranan dan tanggungjawabnya sebagai peneraju utama pendidikan tinggi negara iaitu mencipta penyelesaian terhadap cabaran masa kini dan masa depan, menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia serta memberi impak akademik yang signifikan, dan melahirkan graduan holistik yang akan menjadi harapan masa depan negara dan dunia,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast