KUALA LUMPUR – Prestasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada tahun 2025 dengan nilai jualan meningkat sebanyak 12.9 peratus, mencapai RM3.2 bilion berbanding RM2.5 bilion pada tahun 2023.
Peningkatan ini seiring dengan pertambahan bilangan pekerja sebanyak 17.6 peratus, merekodkan 281,876 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dari segi prestasi mengikut negeri, Selangor merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM0.7 bilion dengan bilangan pekerja seramai 38,811 orang diikuti oleh negeri Johor dengan nilai jualan RM0.5 bilion dengan bilangan pekerja seramai 44,525 orang.
Sementara itu, Kuala Lumpur yang merekodkan nilai jualan RM0.4 bilion dengan jumlah pekerja seramai 16,142 orang.
Ketiga-tiga negeri ini menyumbang sebanyak 47.5 peratus daripada jumlah nilai jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara.
Di peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru mencatat nilai jualan tertinggi sebanyak RM261.1 juta, diikuti Petaling RM184.7 juta dan Gombak RM122.0 juta.
Secara khusus, bazar Ramadan mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM2.6 bilion pada tahun 2025, mencerminkan pertumbuhan positif sebanyak 14.9 peritus berbanding tahun 2023.
Dari segi analisis prestasi peringkat negeri, Selangor merekodkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM558.0 juta, diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak RM361.9 juta dan Johor sebanyak RM331.5 juta.
Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan jualan tertinggi dengan RM163.9 juta, diikuti oleh Johor Bahru dengan RM162.1 juta dan Gombak dengan RM120.8 juta.
Sementara itu, bilangan pekerja yang terlibat dalam Bazar Ramadan meningkat secara ketara sebanyak 18.7 peratus kepada 241,379 orang, berbanding 171,386 orang pada tahun 2023.
Johor merekodkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 37,415 orang, diikuti oleh Selangor dengan 32,989 orang dan Pulau Pinang dengan 25,515 orang.
Di peringkat daerah, Johor Bahru mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 21,295 orang, diikuti oleh Seberang Perai Tengah dengan 9,873 orang dan Petaling dengan 8,896 orang.
Bazar Aidilfitri turut menunjukkan prestasi yang memberansangkan dengan jumlah jualan meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada RM0.6 bilion berbanding tahun 2023 (RM0.5 bilion).
Johor mencatatkan nilai jualan tertinggi di peringkat negeri dengan RM144.3 juta, diikuti oleh Selangor sebanyak RM109.8 juta dan Kedah sebanyak RM53.9 juta.
Di peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru sekali lagi mencatatkan jualan tertinggi sebanyak RM99.0 juta, diikuti Klang dengan RM55.6 juta dan Melaka Tengah dengan RM36.0 juta. – MalaysiaGazette















