KUALA LUMPUR – Lelaki memegang pistol ketika memandu di persimpangan Jalan Keretapi di Kuching yang tular di media sosial semalam sudah ditahan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di sekitar Kuching selepas video berdurasi sembilan saat itu dikesan pihak polis.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dan semakan mendapati senjata yang dipamerkan dalam video berkenaan adalah pistol tiruan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek, 22, turut mempunyai dua rekod jenayah dan didapati positif dadah hasil ujian saringan awal.
Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki atau menggunakan senjata tiruan. – MalaysiaGazette















