KUALA LUMPUR – Cubaan lima kru nelayan warga asing bekerja tanpa permit di perairan Terengganu gagal apabila mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi penguatkuasaan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu, sebuah vesel nelayan kelas C yang berpangkalan di Tanjung Gemok dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 13 batu nautika dari muara Kemaman ketika rondaan rutin Op IMAN dijalankan.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan lima lelaki warga Myanmar berusia antara 26 hingga 41 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen kerja sah.
“Kesemua kru termasuk tekong disyaki melanggar Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan tenaga kerja asing tanpa kebenaran Jabatan Perikanan Malaysia.
“Selain itu, mereka juga gagal mengemukakan Pas Lawatan Kerja Sementara daripada Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Hamiludin, majikan boleh didakwa mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Manakala tekong dan kru boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
“Kesemua kru dan bot yang digunakan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, orang awam dan komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.
“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-746 4357,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















