Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti semula keputusan ‘No Further Action’ atau NFA terhadap kes pelaburan membabitkan mesin layan diri dan mesin kopi yang dipercayai menipu pelabur.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut itu menimbulkan persoalan memandangkan siasatan awal telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

“Kami mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Selangor baru-baru ini kes ini telah diklasifikasikan sebagai NFA oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya. Namun, ia melibatkan kerugian kepada pelabur dan wajar disemak semula,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hishamuddin mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar yang mendedahkan pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun berkaitan penipuan pelaburan mesin layan diri kopi dengan jumlah kerugian mencecah RM6.7 juta.

Namun difahamkan, pejabat Timbalan Pendakwa Raya telah membuat keputusan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan di bawah jenayah penipuan.

Dalam pada itu, kata Hishamuddin, siasatan terhadap syarikat yang sama sedang berjalan di beberapa negeri lain, dan MHO kini menunggu maklumat lengkap daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) yang terlibat.

“Selepas semua maklumat diperoleh, MHO akan menghantar surat rasmi kepada AGC untuk memohon keputusan ini disemak semula secara menyeluruh agar suspek-suspek yang bertanggungjawab boleh didakwa mengikut lunas undang-undang,” tegas beliau.

Pada masa sama, katanya, MHO akan membawa pengadu yang merupakan mangsa pelaburan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membuat aduan rasmi terhadap syarikat terbabit Isnin hadapan.

“Kami percaya wujud pelanggaran terhadap Akta Skim Kepentingan 2016. Sekiranya syarikat tersebut tidak berdaftar dengan Pendaftar Skim Kepentingan, itu adalah satu kesalahan serius.

“MHO komited memastikan keadilan ditegakkan bagi mangsa-mangsa pelaburan ini, dan mereka yang menyalahi undang-undang akan dihadapkan ke muka pengadilan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast