Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media selepas mahkamah membuat keputusan melepaskan tanpa dibebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu meneruskan hukuman di Penjara Kajang meskipun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tiga pertuduhan membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini kerana Najib masih mempunyai hukuman pemenjaraan kes lain atas tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, hampir empat tahun lalu.

“Dalam kes ini dibebaskan, tapi oleh sebab dia ada hukuman penjara yang lain, dia bebas tapi balik ke penjara,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu Najib dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, terhadap tiga pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib Razak tiba di mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan agar dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2025

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan walaupun selepas enam tahun pertuduhan dikemukakan.

Hakim berkata, kes itu tergantung di mahkamah sejak 2019 dan sehingga kini belum satu pun keterangan saksi dikemukakan.

Ketika ditanya tentang reaksi Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikannya DNAA, Shafee berkata, beliau sangat gembira dengan keputusan itu yang dinantikan sejak enam tahun lalu.

“Datuk Seri Najib sangat gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan kes ini tergantung beberapa kali dan beliau pernah minta DNAA ini sebelum ini.

“Sekarang Datuk Seri Najib boleh tumpu sepenuhnya kepada kes 1MDB,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast