KUALA LUMPUR – Terdapat satu kematian pertama tahun ini bagi kes Covid-19 Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2025 (ME 24/2025), melibatkan individu dengan komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak mengambil vaksin booster kedua.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, negara merekodkan sebanyak 21,738 kes Covid-19 dilaporkan secara kumulatif, dengan purata mingguan kekal sekitar 900 kes bagi minggu tersebut.
Menurutnya, walaupun terdapat sedikit peningkatan pada ME 24/2025 kepada 3,379 kes berbanding 2,011 pada minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 68 peratus tetapi situasi semasa Covid-19 dalam negara kekal terkawal dan di bawah paras amaran kebangsaan.
Situasi ini melibatkan penurunan ketara berbanding 57 kes kematian Covid-19 pada tahun 2024.
Menurut KKM, kematian terakhir sebelum ini berlaku pada 26 Mei 2024, membuktikan keberkesanan langkah kawalan dan perlindungan kesihatan awam yang dilaksanakan oleh KKM.
Pada ME 24/2025 juga, sebanyak enam kes Covid-19 telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi (golongan rentan dengan penyakit sedia ada) seperti hipertensi, diabetes, dislipidemia, penyakit jantung dan sindrom down.
Kesemua kes sedang menerima rawatan rapi dengan pemantauan profesional kesihatan.
Sebagai langkah pencegahan proaktif, KKM menggalakkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan komorbiditi, remaja immunocompromised, ibu hamil, dan petugas kesihatan untuk mendapatkan dos tambahan vaksin Covid-19.
Individu berumur 18 tahun ke atas juga layak menerima vaksin Covid-19 secara sukarela selepas konsultasi dengan Pegawai Perubatan.
KKM juga menyeru rakyat Malaysia pada pelbagai peringkat usia (dari dalam kandungan sehingga warga emas) untuk mendapatkan imunisasi/vaksinasi mengikut keperluan sempena Program Imunisasi Kebangsaan.
Perkhidmatan imunisasi/vaksinasi disediakan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan terpilih, dan boleh diakses melalui tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera atau secara walk-in. (Senarai klinik boleh dirujuk di: https://covid19.moh.gov.my/makluman/senarai-pusat-pemberian-vaksinppv-di-malaysia)
Walaupun kita kini adalah dalam fasa hidup bersama Covid-19, KKM menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 bagi melindungi diri dan masyarakat termasuk kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan etika batuk dan bersin, dan memakai pelitup muka jika bergejala atau ketika berada di tempat sesak. – MalaysiaGazette
















