Antara buah-buahan import yang akan dikenakan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 17 JUN 2025.

KUALA LUMPUR –  Keputusan kerajaan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas oren dan epal yang sering dimakan oleh kebanyakan golongan pertengahan dan bawahan negara ini terus dipersoalkan oleh parti Gerakan.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan perkara itu kerana kenderaan elektrik tulen yang diimport boleh menikmati pengecualian cukai.

“Ini menunjukkan perluasan cukai oleh kerajaan boleh ditafsirkan sebagai tindakan yang “mengambil daripada golongan miskin untuk memberi kepada golongan kaya”, satu tindakan yang sangat tidak beretika dan mengabaikan tekanan hidup golongan pertengahan dan bawahan,” katanya dalam kenyataan di ini.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan sudah berulang kali menegaskan ia tidak akan menghidupkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang akan membebankan rakyat dan perniagaan.

Namun, kini kelihatan perluasan SST oleh kerajaan adalah seperti “memotong pokok besar dengan pisau kecil”, perlahan-lahan menyerap masuk ke dalam kehidupan rakyat.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan menjelaskan kepada rakyat untuk menjernihkan kekeliruan dan salah faham yang timbul di masyarakat baru-baru ini mengenai perluasan cukai SST, terutamanya isu berkaitan buah-buahan import.

“Cuma, saya ingin mengingatkan Perdana Menteri, penjelasan adalah satu perkara, mengenakan cukai ke atas avokado tidak menjadi masalah, tetapi buah-buahan yang diambil secara meluas tidak sepatutnya dikenakan SST,” katanya sambil menyatakan jika kerajaan tidak dapat membezakan antara buah-buahan mewah dan buah-buahan popular, akhirnya golongan bawahan yang akan terkesan.

Tambah Dominic, beliau faham kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas kenderaan elektrik tulen yang diimport dan dipasang secara tempatan untuk menggalakkan pelaburan syarikat automotif di Malaysia, memacu peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi tempatan.

Namun, persoalannya, berapa banyak keluarga golongan pertengahan dan bawahan yang mampu membeli kenderaan elektrik.

“Pengecualian cukai kenderaan elektrik adalah fakta, tetapi kini rakyat pula perlu membantu perbendaharaan negara dengan membayar lebih SST,” ujarnya.

Beliau berpendapat, kerajaan sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan dan industri yang terlibat sebelum menentukan skop dan kadar SST agar tidak menjejaskan persekitaran perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Malangnya,sekali lagi keputusan dibuat secara tergesa-gesa oleh pihak berkuasa tanpa rundingan, demi memudahkan pelaksanaan dan memperindah angka hasil negara, tetapi akhirnya tindakan ‘satu penyelesaian untuk semua’ merugikan golongan pertengahan dan bawahan, ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast