BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC) melancarkan Hab Teknovasi UKM-MTDC, sebuah kemudahan strategik di bawah Signature Program MTDC bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara menerusi pemerkasaan penyelidikan, pembangunan bakat dan keusahawanan teknologi di peringkat universiti.
Hab Teknovasi ini diwujudkan menerusi kerjasama erat antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
(FKAB) bagi menyediakan ruang inovatif kepada pelajar, penyelidik serta syarikat pemula akademik.
Kemudahan ini menempatkan makmal prototaip, ruang kerja kolaboratif dan bimbingan industri untuk menyokong proses pengkomersialan hasil penyelidikan serta pembangunan produk berteknologi tinggi yang bersedia untuk pasaran.
Menurut Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Strategi Korporat Kumpulan, MTDC, Mariamah Daud, sebanyak RM250,000 telah disalurkan kepada UKM di bawah Signature Program MTDC, termasuk pembangunan Maker Lab@UKM yang kini dikenali sebagai Hab Teknovasi UKM-MTDC.
“Hab ini bukan sekadar ruang fizikal, tetapi simbol komitmen bersama universiti, industri dan agensi kerajaan dalam mempercepat transformasi digital, membangunkan bakat dan mengkomersialkan hasil penyelidikan tempatan,” tambah beliau.
Kemudahan ini dilengkapi peralatan teknologi terkini seperti pencetak 3D, pemotong laser dan mesin CNC, sekaligus membolehkan pelajar mereka bentuk prototaip awal, menguji penyelesaian dan menzahirkan idea disruptif dalam bidang kejuruteraan, teknologi pintar serta kelestarian.
Hab ini juga menjadi pelantar pelaksanaan program Deep Tech@UKM, yang menerima Dana Keusahawanan KPT 2025 berjumlah RM97,000, untuk melatih pelajar dalam teknologi mendalam, seiring cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan aspirasi negara dalam melahirkan bakat berdaya saing global.
Matlamat utama Deep Tech@UKM untuk membangunkan syarikat pemula pelajar yang berasaskan teknologi sekaligus memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan di universiti.
Pembangunan fasiliti ini turut mengambil kira hasil lawatan penanda aras UKM ke pusat inovasi di UTM, UTP dan USIM bagi memastikan pendekatan terbaik diterapkan.
Menurut ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Yeow Wah Chin, penubuhan hab teknovasi ini bukan sekadar satu pencapaian fizikal dalam bentuk kemudahan dan
peralatan, tetapi lebih penting menjadi simbol komitmen UKM dalam menyemai budaya inovasi dalam kalangan mahasiswa serta memacu peranan universiti sebagai
penggerak ekosistem teknologi dan keusahawanan negara.
Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Strategik MOSTI 2024–2030 yang menekankan R&D berorientasikan misi, kerjasama pintar awam-swasta, dan inovasi inklusif. Ia juga menyokong sasaran UKM dalam meningkatkan bilangan syarikat pemula yang diterajui pelajar dan projek keusahawanan sektor berimpak tinggi.
Hab Teknovasi UKM-MTDC dijangka menjadi pusat rujukan dan pemangkin utama pembangunan inovasi akademik, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia
sebagai hab inovasi serantau melalui kolaborasi universiti-industri yang mampan. – MalaysiaGazette
















