KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan tunggal dari Kelantan yang beraksi di Liga Super musim depan iaitu Kelantan Darul Naim FC (KDN) bakal menerima sentuhan istimewa bekas jurulatih pasukan kebangsaan, E. Elavarasan.
Perkembangan itu dimaklumkan di Facebook miliknya menerusi satu hantaran dalam untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan seperti dahulu.
“Tahniah pada pasukan tunggal Kelantan yang akan beraksi di Liga Super 2025-2026
Selamat datang Jurulatih Kebangsaan Elavarasan dan Jurulatih Antarabangsa UEFA Muammer Salibasic Yang akan berganding bahu melatih Kelantan,” tulisnya.
Annuar turut memberitahu, KDN juga akan diperkuatkan dengan kehadiran import berstatus tonggak kebangsaan dari negara di Asia Tenggara selain pemain dari benua Asia dan Afrika.
Sementara itu, nama E. Elavarasan tidak perlu diperkenalkan lagi kerana pengendali berusia 60 tahun ini memiliki pengalaman hebat dalam melatih kelab di Malaysia seperti Terengganu, Felda United dan PDRM.
Malah, E. Elavarasan juga pernah bergelar penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya ketika di bawah kendalian Kim Pan-gon selain melatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan.
Muammer pula yang pernah menyarung jersi Sarawak suatu ketika dahulu memiliki pengalaman melatih pasukan-pasukan di Liga Bosnia seperti HNK Tomislav. – MalaysiaGazette















