DAMANSARA – Lebih 100 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat menyertai bengkel kompos yang inovatif bertajuk Grow Together: From Waste to Wonder bersempena dengan Minggu Latihan Nasional (NTW) 2025.
Program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menerusi Jabatan Wilayah Tengah – Sektor Baharu itu bertujuan memperkasakan komuniti B40 di Malaysia dengan kemahiran hijau praktikal untuk kehidupan seharian.
Ketua Wilayah Tengah – Sektor Baharu, HRD Corp, Geetha Ganesan berkata, bengkel itu menandakan perubahan besar dalam usaha latihan inklusif pihaknya dengan memperkenalkan kemahiran berkaitan kelestarian seperti pengkomposan dan pengurusan sisa sebagai sebahagian daripada agenda pemerkasaan komuniti melalui peningkatan kemahiran.
“Apa yang menjadikan program ini unik ialah pendekatannya yang bersifat praktikal dan berasaskan komuniti membolehkan seramai 100 peserta daripada isi rumah berpendapatan rendah mempelajari cara menukar sisa makanan isi rumah kepada kompos yang boleh digunakan.
“Ini bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar, tetapi juga membuka peluang penjanaan pendapatan dan berdikari melalui kemahiran hijau,” katanya selepas menghadiri bengkel separuh hari yang diadakan di Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara di sini hari ini.
Bengkel itu dianjurkan HRD Corp dengan kerjasama Trustwired Malaysia dan mendapat kepakaran latihan hijau daripada EcoGarage yang menjadikan ianya yang pertama dianjurkan.
Ia bagi mengukuhkan integrasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan gaya hidup lestari sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau Malaysia bermula dari akar umbi.
Turut hadir pada bengkel tersebut ialah Dr. Azizul Amar Rahmat, Penyelaras TVET Damansara; Encik Nasrullah Ghazaly, Ketua Komunikasi Korporat & Perhubungan Perniagaan, Trustwired Malaysia; dan Encik Fadzli Din, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Cempaka; bersama ahli komuniti, pakar latihan hijau daripada EcoGarage dan para pegawai Wilayah Tengah – Sektor Baharu, HRD Corp.
Mengulas lanjut, Geetha berkata, bengkel itu memperlihatkan komitmen HRD Corp dalam mentakrifkan semula konsep peningkatan kemahiran bukan hanya untuk golongan profesional industri tetapi juga untuk komuniti tempatan.
Katanya, ia menekankan peranan penting TVET dalam membina daya tahan kehidupan seharian serta membekalkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang relevan dengan agenda kelestarian negara.
“Ketika Minggu Latihan Nasional 2025 sedang berlangsung di seluruh negara, inisiatif hijau berasaskan komuniti ini muncul sebagai contoh berkesan menerusi latihan.
“Ia bagi membolehkan menjadi inklusif, bermakna dan memberi impak bagi menanam benih perubahan, secara literal dan satu timbunan kompos pada satu masa,” katanya.
Sementara itu, bengkel itu diakhiri dengan aktiviti kompos interaktif serta sesi fotografi berkumpulan yang menyerlahkan semangat komuniti dan penglibatan awam yang tinggi. – MalaysiaGazette
















