Universiti Harvard

NEW YORK –  Seorang Hakim Persekutuan menyekat usaha pentadbiran Trump untuk menghalang Universiti Harvard daripada menerima pelajar antarabangsa.

Hakim Daerah A.S., Allison Burroughs, memutuskan bahawa Harvard boleh terus menerima pelajar antarabangsa sementara kes ini masih dalam perbicaraan, lapor media tempatan pada Jumaat.

Pada 22 Mei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri A.S. telah membatalkan pensijilan Harvard dalam Program Pelajar dan Pertukaran Pengunjung (Student and Exchange Visitor Program), menyebabkan kira-kira 7,000 pelajar antarabangsa di Harvard terpaksa berpindah ke institusi lain atau berdepan risiko berada secara haram di Amerika Syarikat.

Harvard telah menyaman jabatan itu, menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk pembalasan yang tidak sah kerana universiti itu enggan memenuhi tuntutan pentadbiran Trump untuk mengubah dasar-dasarnya berkaitan protes kampus, kemasukan pelajar, pengambilan kakitangan dan isu lain. Burroughs telah menghentikan sementara tindakan itu hanya beberapa jam selepas saman difailkan.

Pada awal Jun, Presiden Donald Trump turut menghalang pelajar antarabangsa daripada memasuki Amerika Syarikat untuk menghadiri Harvard, dengan menggunakan justifikasi undang-undang yang berbeza. Harvard mencabar tindakan tersebut dan sekali lagi Burroughs menyekat usaha itu secara sementara.

Sebagai respons terhadap rungutan konservatif bahawa Harvard terlalu liberal dan bertolak ansur terhadap gangguan anti-Yahudi, pentadbiran Trump telah memotong lebih daripada AS$2.6 bilion dalam geran penyelidikan untuk Harvard, menamatkan kontrak persekutuan serta mengancam untuk membatalkan status bebas cukai universiti tersebut. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast