Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar hadir merasmikan NTW 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Malaysia kini menjadi peneraju dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat peringkat ASEAN menerusi kejayaan pelaksanaan Minggu Latihan Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai National Training Week (NTW) 2025.

Menurut Penasihat ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, Datuk Shahul Hameed, NTW yang asalnya hanya satu cadangan di Pulau Pinang pada 2023 kini telah berkembang menjadi satu gerakan nasional dan serantau yang memberi impak besar terhadap pembangunan modal insan.

“Ramai yang ragu-ragu pada mulanya. Ada yang menganggap cadangan NTW terlalu idealistik dan mustahil untuk dilaksanakan secara inklusif di seluruh negara.

“Tetapi kami percaya pembangunan kemahiran adalah hak semua rakyat, bukan satu keistimewaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk makluman, NTW kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dengan sokongan kukuh daripada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir merasmikan NTW 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun lalu.

Kata Shahul, kehadiran Perdana Menteri saban tahun membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan insan sebagai tonggak kemajuan negara yang bukan sekadar simbolik tetapi memperlihatkan kepercayaan penuh kerajaan terhadap pentingnya pembelajaran sepanjang hayat.

Tambah Shahul, pada 27 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong umum peluasan akses portal NTW kepada semua negara anggota ASEAN iaitu satu langkah besar menyaksikan Malaysia mengetuai usaha memperkasa kemahiran serantau di bawah Pengerusi ASEAN 2025 dan inisiatif AYOS 2025.

“NTW kini menjadi platform serantau yang menyatukan negara-negara ASEAN melalui pembelajaran. Ini menjadikan Malaysia bukan sahaja pelaksana, tetapi peneraju dan contoh terbaik pembangunan kemahiran yang inklusif dan mampan,” ujarnya.

Impak NTW sangat memberangsangkan dengan peningkatan ketara daripada segi jam latihan dan nilai keseluruhan, antaranya pada NTW 2023: 503,572 jam latihan bernilai RM116 juta, NTW 2024: 1,027,911 jam latihan bernilai RM323 juta dan NTW 2025 (sehingga 14 Jun): 10,424,808 jam latihan bernilai RM485 juta.

Tanpa platform seperti NTW, jelasnya, jam latihan  berkemungkinan besar tidak akan berlaku dan kos latihan untuk rakyat akan jauh lebih tinggi.

“NTW adalah model yang menjimatkan dan boleh diperluas ke seluruh negara dan rantau. Ia menjangkau semua, dari pelajar, pekerja, usahawan kecil, warga emas, komuniti luar bandar hinggalah golongan orang kelainan upaya (OKU). Tiada siapa yang tertinggal,” tambah beliau.

Inisiatif NTW juga mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk dari International Labour Organization (ILO) dan Sekretariat ASEAN (ASEC) yang memuji Malaysia kerana memperkenalkan model pembangunan kemahiran yang benar-benar inklusif dan berimpak tinggi.

Salah satu acara kemuncak NTW 2025 ialah NTW Learn-a-Thon Explorace yang berlangsung pada 15 Jun lalu melibatkan lebih 6,000 peserta menyertai larian sejauh 5km dengan tiga hentian pembelajaran interaktif di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ini membuktikan pembelajaran tidak perlu berlaku di bilik darjah sahaja. Ia boleh berlaku di mana-mana, dengan cara yang menyeronokkan dan melibatkan seluruh komuniti,” kata beliau.

Shahul turut menyuarakan harapan agar NTW diwartakan secara rasmi sebagai Minggu Latihan dan Pembelajaran Kebangsaan yang disambut setiap tahun pada minggu terakhir bulan Jun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast