Ahli Parlimen Muar,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Kompleks mahkamah sekitar ibu negara terus menjadi tumpuan umum sepanjang minggu depan melibatkan penyampaian keputusan dan pendengaran kes kepentingan awam.

Prosiding antaranya melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pemindahan hak milik 263.272 ekar tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate Sdn Bhd dan saman pemula UMNO berkaitan isu pemindahan tanah.

Kes lain termasuk Datin Seri Rosmah Mansor, selebriti tanah air Datin Vivy Yusof, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Tarikh-Tarikh prosiding yang dijadual esok, Selasa dan Rabu diperolehi hasil semakan terhadap laman web mahkamah.

Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Suami, Fadzaruddin Shah Anuar tiba ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024.(GAMBAR FAIL)

Esok, Mahkamah Sesyen menetapkan sebutan kes Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar.

Ia membabitkan kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, tujuh tahun lalu.

Pada Selasa ini di Putrajaya, Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusan rayuan kerajaan mengenai pemindahan hak milik 263.272 ekar tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate.

Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Semantan Estate, sementara syarikat itu turut merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Bekas Menteri Kabinet, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas Forum Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini Ke Hadapan di Shah Alam Convention Centre, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 08 JULAI 2023. (GAMBAR FAIL)

Hari yang sama (24 Jun), Mahkamah Persekutuan (secara sidang video) dijadual mendengar permohonan PKR bagi mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon kepada Zuraida susulan tindakan melanggar syarat bon parti itu.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Zuraida, yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang, membayar RM10 juta kepada PKR selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Bagaimanapun pada 11 Disember 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida melanggar syarat bon parti namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Pada hari itu juga, Mahkamah Rayuan (secara sidang video) memutuskan rayuan Tommy Thomas untuk menggugurkan Hakim Roz Mawar Rozain daripada mendengar saman fitnah difailkan Tan Sri Shahrir Ab Samad berhubung pendakwaan berniat jahat.

Pada 14 Januari lalu, Hakim Roz Mawar menolak permohonan Tommy agar beliau menarik diri daripada mendengar saman tersebut dan menetapkan untuk perbicaraan penuh selama tujuh hari pada 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Tommy Thomas

Pada Selasa juga, Mahkamah Tinggi dijadual mendengar saman pemula difailkan UMNO bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti politik berkenaan.

Menerusi saman itu, UMNO memohon perintah bahawa pemilikan geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftar atas nama pemegang-pemegang amanah dipindahkan kepada UMNO.

Mereka ialah Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada media berkenaan pendengaran dan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan pecah amanah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 17 APRIL 2025 (GAMBAR FAIL)

 

 

Sementara itu, pada Rabu ini, Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menghadapi empat kes iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Armada.

Rosmah Mansor

Hari yang sama (25 Jun), Mahkamah Rayuan dijadual menyambung pendengaran rayuan Rosmah bagi menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada tiga kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mensabitkan Rosmah, 74, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast