Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar hari ini menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan terbaharu di Timur Tengah susulan tindakan ketenteraan berskala besar yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menyifatkan, serangan tersebut bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan besar terhadap infrastruktur awam di Iran, tetapi juga berpotensi mencetuskan konflik serantau yang boleh menjejaskan kestabilan global, termasuk rantau Asia Tenggara.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak agar satu sidang khas tergempar Parlimen diadakan bagi membincangkan pendirian rasmi Malaysia dalam konflik tersebut serta implikasi geopolitik dan ekonomi terhadap negara.

“Parlimen tidak boleh berdiam diri dalam isu yang melibatkan keadilan sejagat, kedaulatan negara lain dan kemanusiaan. Suara rakyat Malaysia mesti dizahirkan melalui saluran sah dan terhormat, iaitu Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga perkara utama yang dicadangkan beliau untuk dibincangkan dalam sidang khas itu ialah pendirian rasmi Malaysia dalam konflik berkenaan serta tindakan diplomatik yang sewajarnya.

“Perlu juga dibincangkan kesan geopolitik dan ekonomi, termasuk terhadap rantaian bekalan, harga minyak dan keselamatan serantau.

“Tindakan kemanusiaan yang boleh diambil oleh Malaysia bagi membantu rakyat Iran yang menjadi mangsa konflik,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa, Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali dan bermaruah perlu konsisten dalam menolak segala bentuk penjajahan, pencerobohan dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.

Mahfuz menyeru agar kerajaan memainkan peranan aktif melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN dalam usaha mengekang keganasan dan menggerakkan penyelesaian damai.

“Saya percaya rakyat Malaysia menolak segala bentuk keganasan dan menyokong penyelesaian damai. Maka adalah menjadi tanggungjawab moral dan politik kita untuk memastikan suara negara ini disuarakan dengan jelas dan bermaruah di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggesa agar Perdana Menteri segera mempertimbangkan keperluan mengadakan sidang khas tersebut demi mempertahankan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast